Monday, September 21, 2009

Mode : Raya~


Pejam celik, pejam celik hari ini dah masuk hari ketiga umat Islam meraikan hari kemenangan. Saya kira pada waktu ini semuanya masih dalam mood raya, masih lagi sibuk menziarahi kaum kerabat serta sahabat handai. Alhamdulillah rasa sangat bersyukur sebenarnya kerana tradisi ziarah-menziarah itu belum luntur dan masih dipegang utuh oleh masyarakat di saat kita dihimpit dengan segala macam perubahan dan anjakan paradigma akhir-akhir ini.

Dalam-dalam duk sibuk beraya, agak banyak benda rutin yang tak terbuat. Dah tiga hari tak baca dan tak jumpa surat khabar. Tadi sempat jalan-jalan sekejap kat Utusan Online, buka semula arkib-arkib lama dan terjumpa kisah di bawah ini >>


Latipah graduan terbaik KIAS

LATIPAH Sidik bersama suami dan anaknya melihat ijazah yang diterima pada Majlis Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di Kompleks Balai Islam, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 17 Ogos - Latipah Sidik, 22, menerima tentangan daripada keluarga pada awalnya ketika menyampaikan hasrat berkahwin dengan lelaki pilihannya, Shaiful Amri, 30, seorang pensyarah di sebuah institusi pendidikan di Terengganu.

Perkara utama yang menjadi kerisauan keluarganya adalah Latipah masih belajar dalam semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) malah ketika itu dia hanya berusia 20 tahun.

Bagaimanapun, selepas berjaya meyakinkan keluarga untuk meneruskan pelajaran, ibu muda ini membuktikan bahawa tanggungjawab sebagai isteri tidak akan menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan.

Hari ini, pelajar yang bercita-cita melanjutkan pengajian di Mesir ini dipilih menjadi pelajar terbaik dan menerima Anugerah Menteri Besar pada Konvokesyen KIAS XI 2009 di Kompleks Balai Islam di sini.

"Saya menjadikan suami sebagai pendorong utama kejayaan saya. Dia banyak berkorban dan memberi laluan kepada saya menghabiskan pengajian.

"Oleh itu, saya hadiahkan kejayaan ini kepadanya dan juga ahli keluarga kerana memberi restu kepada saya untuk berkahwin walaupun masih bergelar pelajar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 178 graduan KIAS menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis tersebut dalam bidang Usuluddin, Al-Syariah, Al-Dakwah Wal Qiadah dan Bahasa Arab.

Penyampaian diploma dan ijazah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Berkongsi pengalaman menjadi seorang isteri sewaktu ketika masih belajar, Latipah berkata, saat paling sukar yang dihadapi adalah selepas dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Ala' Zakirah, yang kini berumur satu tahun tiga bulan.

Katanya, kelahiran orang baru dalam hidupnya serta suami itu menyebabkan mereka terpaksa melakukan perancangan terbaik untuk memastikan anaknya itu dapat dijaga dengan penuh kasih sayang.

"Semua masalah ini berjaya kami selesaikan kerana suami saya menunjukkan tanggungjawabnya dengan menjaga anak kami sepenuhnya.

"Setiap hujung minggu saya akan balik ke rumah suami di Kuala Terengganu untuk bersama mereka kecuali jika ada program yang perlu disertai," ujarnya.

Tambahnya, jadual masa yang padat kerana memikul dua tanggungjawab tidak langsung mengganggunya untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

"Cara saya adalah memberi tumpuan penuh di dalam kelas dan segera berjumpa pensyarah jika menghadapi masalah.

"Saya juga sentiasa melakukan persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan kerana tidak mahu gagal," tambahnya yang mengumpul Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.67.

Sumber

Ini adalah cebisan daripada kisah-kisah gembira keluarga bahagia ini. Saudari Latipah Sidik a.k.a Kak La merupakan antara senior yang agak rapat sewaktu kami masih lagi menuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu. Beliau menghabiskan pengajian di bumi Maahad awal dua tahun daripada saya. Saat terbaca kisah kejayaan cemerlang yang telah digenggaminya kini, terbit rasa bangga yang tak terungkap.

Alhamdulillah selepas pelbagai macam ujian dan suka duka yang dilalui beliau layak berbangga dengan pencapaian dirinya hari ini. Teringat pula zaman di mana kami masih bergelar pelajar di Maahad, ketabahan dan ketulusan hatinya selalu saja menjadi sumber kekuatan diri ini. Sepanjang mengenalinya, beliau bukan sahaja seorang senior yang baik yang sentiasa menjaga kebajikan para junior malah merupakan juga kawan, teman, sahabat dan pendengar setia yang sangat dekat di hati ini.

Buat Kak La, tahniah di atas kejayaan cemerlangmu! Terima kasih atas segala terbiyyah dan tunjuk ajar selama ini. Semoga terus cemerlang, gemilang dan terbilang dalam meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar, isteri, ibu dan khalifahNya. Moga nanti kami semua junior-juniormu bisa menggapai kejayaan semanis madu itu, Ameen~





1 comment:

Anonymous said...

rindu...
alhamduliLLah..
aku diberi kesempatan untuk mengenali dia. Terima ksih kepada dia kerana sudi menjadi roomate aku yang terbaik..