Dapat call tadi. Fuh! Rasa macam nak demam semula je.
Gila gentle! Nasib baik anak murid sudah bocorkan awal-awal.
Tapi ada juga sedikit cuak!
Nasib baik saya tak ada sakit jantung tau. T_T
~senyum biar lebar2 dan ikhlas~
Kehidupan yang dicipta olehNYA terlalu bernilai buat kita insan kerdil. Limpahan nikmat-Nya yang mencurah-curah menumbuhkan bunga kebahagiaan di taman hati . Tidak terhitung rasanya semua nikmat itu. Sepatutnya hanya senyuman yang layak dipamerkan setiap pagi, senyuman tanda syukur dan gembira di atas nikmat-Nya. Meski senyuman itu mahal harganya, tapi amat mudah untuk menghasilkannya dan tiada ibadat yang paling berharga selain ukiran senyum syukur di bibir insan beriman.
Senyuman itu berintikan redha, kasih dan cinta kepada ketentuan Allah SWT. Senyuman itu juga menyimpan rasa rindu dan igauan untuk akur di atas segala suruhan-Nya. Tidak terbit sedikitpun di hati untuk ingkar dan berpaling kerana hati itu dijinakkan oleh nikmat kurniaan daripada-Nya. Hati itu sentiasa mengingati betapa Allah itu Maha Penyayang. Tiada siapa pun yang dapat menandingi kasih-sayangNYA. Dialah Sang Kholiq, kekasih yang paling setia, paling memahami dan paling bertolak ansur. Jika insan yang anda sayang boleh menikam anda dari belakang, ingatlah sesungguhnya Allah SWT hendak memberi ingatan kepada anda bahawa hanya Dia saja yang paling setia kepada anda.
Sebaik membuka mata pada pagi hari, nikmat hadir di sekeliling kita. Ibubapa tempat berteduh kasih, sahabat seperjuangan yang luar biasa cinta dan kasihnya, teratak indah yang dilimpahi cahaya ketenangan, kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah ruah serta ilmu sebagai panduan perjalanan. Nikmat terbesar kurniaanNYA adalah nikmat Iman dan Islam. Dari iman dan islam itulah terbitnya rasa penuh kecintaan dan kehambaan kepadaNYA. Harusnya diri bersyukur berjuta-juta kalinya atas nikmat islam warisan yang kita peroleh ini sedangkan dalam masa sama terdapat hati-hati lain tercari-cari akan fitrah mana yang harus diikuti.
Dan sesungguhnya Mukmin itu lebih banyak tersenyum dari merungut atas setiap yang ALLAH gariskan pada liku-liku perjalanan sebuah kehidupan. Bersyukur dengan setiap karunia Tuhannya. Ujian menjadikan mukmin itu kuat dan tabah menghadapi tribulasi ujian hidup.
Senyuman yang ikhlas menjadi pemangkin kejayaan seorang mukmin dunia dan akhirat. Mulakan dengan senyuman yang menerbitkan dhiaul iman. Senyuman ikhlas menandakan seseorang itu berada pada tahap kualiti amal yang produktif. Kerana keceriaan itu berhubungan langsung dengan keadaan emosi. Jika emosi seseorang baik maka ia akan melakukan amal dan kerja dengan gembira dan berkualiti. Begitulah kekuatan sebuah senyuman yang ikhlas. Rasulullah SAW suka mendengar perbualan sahabat Baginda ketika bergaul mesra dengan mereka. Hal ini dijelaskan dalam hadis diriwayatkan daripada Samak bin Harb :
"Aku bertanya kepada Jabir bin Samurah:Pernahkah kamu duduk bersama-sama Rasulullah SAW. Jawab Jabir: “Bahkan sering. Biasanya baginda SAW belum bangun dari tempat solat Subuh sebelum terbit matahari. Apabila terbit matahari barulah Baginda berdiri. Selama duduk itu sahabat ada bercerita mengenai zaman jahiliah mereka dulu, lalu mereka tertawa dan baginda pun tersenyum.”
-HR : Muslim-
Ketika Rasulullah SAW berada di sisi isterinya, Baginda amat sukakan gurauan untuk memikat hati mereka, seperti yang digambarkan Anas bin Malik, beliau berkata: Pada suatu ketika Ummu Sulaim bermusafir bersama isteri Rasulullah SAW, diiringi seorang hamba berkulit hitam bernama Anjasyah. Baginda bersabda yang bermaksud:
"Wahai Anjasyah, perlahan-lahanlah kamu mengiringi botol kaca (perumpamaan bagi wanita yang halus dan lembut)”. (Riwayat Muslim).
Jika kita menganggap iman boleh diukur dengan wajah serius, tidak mahu bergurau senda dan bencikan hiburan, maka orang yang menjalani hidup seperti ini adalah orang sakit dan terdera mentalnya. Hiduplah dengan gembira dan nyatakan kesyukuran kepada Allah SWT dengan hati ceria dan reda kepada-Nya. Senyuman itu boleh menguatkan iman dan senyum itu tidak menyakitkan bahkan ia bisa bisa menjadi pengubat hati yang sakit.
*di edit dan diolah dari karya asal.
Bungamerah : Saat aku perlu bersenyum! =) Thank you ALLAH!